Pemikiran kalam muktazilah. Dikarang
oleh Dr. H. Ali Ya’kub Matondang. Medan, 1996. 140 muka surat.
Oleh kerana buku ini merupakan olahan daripada tesis yang tajuk
asalnya ialah “Konsep Taklif
Menurut Al-Qadi Abdul Jabbar dan Implikasinya Terhadap Tanggungjawab Manusia“,
maka akan dapat ditemui di dalamnya banyak pandangan yang diambil daripada
pelbagai buku. Selain itu oleh kerana ini adalah olahan daripada sebuah tesis
juga(i), maka dapat dilihat banyak penulisan berbentuk kajian dan buku ini
lebih bertumpu dalam melakukan perbandingan dan ulasan terhadap pemikiran tokoh
pemikir’ fahaman Muktazilah iaitu al-Qadi Abdul Jabbar (935 – 1025) dalam perbincangan
mengenai konsep taklif. Buku “Pemikiran kalam muktazilah” ini
memuatkan sebanyak enam bab yang mana di dalam bab 2 hingga bab 5, menyentuh
perkara yang berkaitan dengan taklif menurut
pandangan pelbagai ulama tidak kira daripada aliran Muktazilah, Qadariah,
Jabariah mahupun Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Pemikiran kalam Muktazilah telah
dikarang Dr. H. Ali Ya’kub Matondang. Beliau telah melakukan penelitian dan
kajian untuk mengetahui pemikiran muktazilah tentang taklif dan implikasinya terhadap tanggungjawab manusia. Dalam bab
dua, pengarang meletakkan tajuk iaitu “taklif
menurut al-Qadi Abdul Jabbar”. Dalam bab ini juga pengarang membahagikan kepada
tiga bahagian iaitu pengertiannya, tujuan taklif,
taklif ‘aqli dan sam’i. Di
dalamnya terlihat dasar-dasar pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar tentang taklif yang menjadi titik tolak kepada
bab yang berikutnya.
Bahagian pertama menyentuh tentang makna atau definisi, dinyatakan
juga empat unsur penting yang terdapat dalam definisi-definasi taklif yang dibuat oleh al-Qadi Abdul Jabbar
iaitu informasi, tindakan yang bertanggungjawab, adanya unsur kesukaran dan
bebas daripada paksaan atau penekanan(15-18). Lalu dengan segala penelitian
yang dilakukan, Dr. H. Ali Ya’kub menyimpulkan, “Taklif harus memenuhi seluruh unsur yang telah disebutkan di atas.
Andainya kurang salah satu di antaranya maka batasan taklif sebagai disebut
sebelumnya bererti tidak berlaku”(19).
Pada bahagian
mengenai tujuan taklif, pengarang
menimbulkan satu hujah yang dapat dilihat pada pernyataan “di sini timbul
masalah, mengapa al-sawab (pahala)
yang menjadi tujuan taklif dan mengapa
tujuan ini baru diperoleh di akhirat?”(21). Untuk menjawab persolan ini,
pengarang telah menerangkan konsep
tentang taklif, al-sawab dan al-i’adah
yang dihuraikan dengan panjang lebar dan merujuk kepada penerangan-penerangan
oleh al-Qadi Abdul Jabbar.(22-27)
Bahagian seterusnya
iaitu mengenai taklif ‘aqli dan sam’i. Disini, pengarang menegaskan,
“informasi yang diperoleh melalui al-ilm
al-daruri dan al-ilm al-istidlal yang
berdasar akal, melahirkan al-taklif
al-‘aqli, sedang informasi yang diperoleh melalui al-ilm al-istidlali yang berdasarkan wahyu, melahirkan al-taklif al-sam’i”(27). Dengan itu,
dinyatakan lagi bahawa, “manusia dapat mengetahui kedua bentuk taklif diatas, adalah dengan menggunakan
akal atau nalar”(27).
Dalam bab tiga,
pengarang membahas tentang tuhan sebagai mukallif.
Dalam bab ini, beliau telah menerangkan masalah-masalah yang berkaitan dengan
keesaan dan sifat-sifat tuhan, keadilan dan perbuatan tuhan serta kehendak dan kekuasaan tuhan. Bab ini dihuraikan
dengan memberi gambaran yang jelas tentang hakikat mukallif sebagai satu-satunya dan tidak mungkin ada yang menyerupai
Allah. Dr. H. Ali Ya’kub Matondang menerangkan tuhan sebagai mukallif menurut al-Qadi Abdul Jabbar,
tidak akan memberi beban di luar batas kemampuan manusia.
Pada bab yang ke-tiga ini juga, pengarang membahagikan topik
perbincangan kepada tiga bahagian, pertama berkaitan keesaan dan sifat-sifat
tuhan, kedua keadilan dan perbuatan tuhan, akhirnya kehendak dan kekuasaan
tuhan. Bahagian pertama, iaitu keesaan dan sifat-sifat tuhan, pengarang
mengambil kenyataan daripada al-Qadi Abdul Jabbar iaitu, “sekalipun terdapat
empat macam dalil, iaitu akal, al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’, namun untuk
mengetahui adanya tuhan hanya dapat dicapai dengan dalil akal”(40). Seterusnya,
pengarang telah menerangkan satu persatu dengan mengikuti alur pemikiran
al-Qadi Abdul Jabbar untuk mendapatkan pengertian yang lebih jelas berkaitan
untuk mengetahui adanya tuhan dapat dicapai dengan akal. Akhirnya, pengarang
merumuskan, bahawa pernyataan al-Qadi Abdul Jabbar bahawa “ pengetahuan tentang
adanya Allah hanya dapat dicapai dengan dalil akal”(40) adalah dilihat dari
sudut penggunaan argumen, dan tidak bererti al-Qadi Abdul Jabbar mengabaikan
dalil sam’i apatah lagi menentang autoriti
dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Pengarang turut melakukan perbandingan antara metod yang digunakan
al-Qadi Abdul Jabbar dengan metod Ibnu Taimiyyah dalam hal mengetahui kewujudan
tuhan ini. Menurut Ibnu Taimiyyah, pengetahuan tentang adanya Allah adalah
merupakan naluri fitrah manusia dan tidak memerlukan perbahasan. Bagi Ibnu
Taimiyah, tiada taklif untuk
mengetahui adanya maha pencipta, manusia hanya diberi taklif untuk mengenal tauhid dan menolak syirik sahaja(41), dan
pandangan ini ditolak oleh pengarang dengan memetik kata-kata al-Qadi Abdul
Jabbar bahawa,”andainya tuhan diketahui secara daruri tentunya tidak akan terjadi perbezaan pandangan manusia
terhadap adanya tuhan, sebagaimana tidak adanya perbezaan pandangan mengenai
gelapnya malam dan terangnya siang”(42). Dalam bahagian keesaan dan sifat-sifat
tuhan ini juga, turut didatangkan pandangan menurut ahli falsafah Islam seperti
al-Razi, Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina.
Kemudian, bahagian keadilan dan perbuatan tuhan, pengarang telah
menghuraikan perbahasan mengenainya dengan memetik ayat-ayat daripada penulisan
al-Qadi Abdul Jabbar berkaitan ayat al-Quran dalam surah al-Anbiya’ :47, yang
menunjukkan keadilan tuhan dengan dasar pertimbangan bahawa, ”tuhan menjelaskan
bahawa ia tidak menzalimi seseorang, bererti tuhan maha suci daripada berbuat
zalim. Kedua, ia menjelaskan tidak akan menahan hak-hak seseorang walaupun
dalam ukuran yang paling sedikit pun.
Bagi yang memiliki sifat seperti ini, tentunya kezaliman tidak mungkin berasal
daripadanya. Akhirnya, ia menggunakan neraca dengan adil dan perhitungan yang
cermat. Andainya ia berbuat zalim, maka pernyataan tersebut tidak bererti sama
sekali”(58).
Seterusnya dalam bahagian terakhir, iaitu perbahasan mengenai
kehendak dan kekuasaan tuhan, Dr. H. Ali Ya’kub Matondang mendatangkan
masalah-masalah yang diperdebatkan oleh ahli kalam mengenai kehendak tuhan
kepada beberapa persoalan. Pengarang membawa perbandingan fahaman antara
Muktazilah dengan Asy’ariyah.
Dalam bab empat
pula yang bertajuk “manusia sebagai mukallaf”,
pengarang buku telah menyajikan kajian-kajian terhadap manusia sebagai mukallaf. Pada bab ini konsep manusia
dibahas menurut al-Qadi Abdul Jabbar, kemampuan manusia melakukan taklif dan masalah perbuatan manusia.
Melaluinya, telah kelihatan potensi-potensi yang dimiliki manusia sehingga
melakukan taklif secara efektif
sekaligus memperlihatkan pandangan al-Qadi Abdul Jabbar tentang autonomi
manusia untuk mewujudkan perbuatannya.
Pada bab ini,
terdapat tiga bahagian. Yang pertama iaitu “manusia menurut al-Qadi Abdul Jabbar”.
Pengarang pada bahagian ini telah mengambil maksud manusia menurut al-Qadi
Abdul Jabbar iaitu, “hakikat manusia yang disebut didalam kajian ini disebut maiyah al-mukallaf, adalah makhluk yang
memiliki kemampuan, pengetahuan, persepsi, hidup dan kehendak”. Kayu ukur yang
digunakan oleh al-Qadi dalam menetapkan hakikat manusia ialah kelayakannya
untuk melakukan taklif (76).
Pada bahagian
pertama ini juga, Dr. H. Ali Ya’kub Matondang mengambil maksud hakikat manusia
menurut pandangan tokoh-tokoh pemikir Islam lain. Dan pada maksud yang diambil,
dirujuk pula kepada maksud yang dinyatakan oleh al-Qadi Abdul Jabbar (75).
Dalam bahagian
kedua, iaitu “kemampuan manusia melakukan taklif”,
dibawa beberapa istilah untuk
mengungkapkan kemampuan manusia iaitu daya (al-qudrah),
kekuatan (al-quwwah), kemampuan (al-istita’ah) dan kesanggupan (al-taqah). Istilah al-taqah tidak boleh digunakan untuk menunjuk kemampuan tuhan
kerana didalam kalimah ini terdapat unsur kesukaran dan kesulitan, sedangkan
tuhan mustahil mengalami hal yang sedemikian. Diterangkan bahawa kajian tentang
kemampuan manusia dalam teologi Muktazilah, ditekankan pada daya yang dimiliki
manusia (81).
Perbahasan
berkaitan dengan kemampuan manusia melakukan taklif ini, diterang dan dihuraikan dengan panjang lebar sambil
disertakan dengan perbandingan yang dilakukan antara maksud yang diberikan oleh
pemikir ahli kalam Muktazilah dan lainnya, akhirnya disimpulkan bahawa manusia
berada didalam keadaan mampu untuk melaksanakan taklif sama ada berbentuk perintah mahupun berbentuk larangan,
tetapi dengan kemampuan yang terbatas (90).
Bahagian akhir pula
iaitu mengenai perbuatan manusia. Menurut Dr. H. Ali Ya’kub Matondang, “ bagi
Muktazilah, manusia memiliki kehendak dan daya yang efektif untuk mewujudkan
perbuatannya sehingga ia disebut pelaku perbuatan dalam erti yang sesungguhnya”(105).
Kesimpulannya, setiap ayat yang menjurus kepada penisbahan perbuatan manusia kepada tuhan, difahami Muktazilah
sebagai takwil dan setiap ayat yang
menurut mereka bertentangan denagn konsep tauhid dan keadilan tuhan
dikategorikan sebagai ayat mutasyabihat
yang harus dimaksudkan secara takwil.
Bab ke-lima pula
dikemukakan perbahasan mengenai implikasi taklif
terhadap tanggungjawab manusia. Disini dihuraikan implikasi taklif, baik terhadap individu, keluarga
mahupun sosial. Dengan mengamati pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar tentang taklif, mukallif dan mukallaf, akan terlihat adanya
tanggungjawab manusia secara penuh atas tindakan yang dilakukannya.
Pada bab ke-lima
ini juga Dr. H. Ali Ya’kub Matondang memfokuskan kesan taklif terhadap tanggungjawab manusia. Pengarang membahagikannya
kepada tiga bahagian iaitu “tanggungjawab individu”, “tanggungjawab keluarga”
dan akhirnya “tanggungjawab sosial”.
Dalam bahagian tanggungjawab individu, pengarang banyak menekankan
bahawa setiap perbuatan yang manusia lakukan adalah bertanggungjawab sepenuhnya
atas perbuatannya. Maka, setiap perkara yang dilakukannya akan mendapat balasan
sesuai dengan apa yang diperbuatnya, baik diberi pahala, jahat akan mendapat
siksa. Pengarang juga menyatakan,” kesedaran akan tanggungjawab individu
menunjukkan bahawa Islam adalah agama etika, dimana manusia mendekati tuhan
denagn perbuatan baik dan kesedaran ini merupakan kekuatan yang dapat mendorong
manusia untuk melakukan perbuatan baik dan terbaik”.
Seterusnya pada bahagian tanggungjawab keluarga. Jika dapat
difahami, pada bahagian ini, pengarang secara jelas ingin menyatakan bahawa
konsep taklif yang diajukan oleh
al-Qadi Abdul Jabbar mempunyai implikasi tanggungjawab untuk memikirkan,
merencanakan dan mewujudkan keluarga yang sejahtera dan bahagia. Ini
berdasarkan pandangannya dalam “istilah al-istita’ah
yang dimiliki manusia, juga istilah al-manafi’
atau masalih (manfaat atau maslahah)
sangat relevan dengan program Keluarga berencana”.
Akhirnya pada bahagian tanggungjawab sosial, pengarang merumuskan
bahawa sesungguhnya tanggungjawab individu dan tanggungjawab keluarga yang
ditekankan dalam al-Quran bukan bertujuan untuk melemahkan aktiviti individu
didalam kegiatan sosial, sebaliknya untuk mengarahkan serta mendorong untuk
tercapainya tujuan-tujuan sosial. Kerana, masalah-masalah yang bersangkutan
dengan hal keluarga dan indivu selalu dipandang dalam konteks umat. Dr. H. Ali
Ya’kub matondang menyatakan,”ditinjau dari segi konsep taklif, tanggungjawab sosial berfungsi sebagai pengaman untuk
terlaksananya taklif dengan sempurna
dalam kehidupan masyarakat.
Kesimpulannya, konsep taklif
yang dikemukakan oleh pengarang dengan merujuk kepada pemikiran al-Qadi Abdul
Jabbar mencakupi tiga pokok perbahasan iaitu hakikat taklif, Allah sebagai mukallif
dan manusia sebagai mukallaf. Kajian
dalam ketiga perkara pokok ini memuatkan pandangan keseluruhan tentang
pemikiran kaum Muktazilah. Jadi pemikiran taklif
bagi al-Qadi Abdul Jabbar merupakan kerangka teori yang diatasnya dibangun
pemikiran kalam berikut segala permasalahannya.
Dalam ke-tiga perkara pokok perbahasan taklif yang diajukan oleh al-Qadi Abdul Jabbar, terdapat hubungan
yang bukan terjadi dalam tempoh sesuatu tanpa mengikuti perkembangannya antara taklif dengan kemampuan manusia. Allah
sebagai mukallif memberikan taklif sesuai dengan keterbatasan daya
manusia.
Dr. H. Ali Ya’kub Matondang turut menyatakan, “pemikiran kalam yang
diajukan oleh al-Qadi Abdul Jabbar mengandungi idea-idea positif yang sangat
dominan, kemampuan dan kebebasan manusia serta keyakinan yang teguh terhadap
keesaan dan keadilan tuhan”.
Terdapat beberapa kekurangan didalam buku ini. Tajuk buku ini
seperti akan menceritakan keseluruhan pemikiran muktazilah berkaitan ilmu
kalam, hakikatnya ia hanya banyak menceritakan perkara berkenaan taklif sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan ejaan yang tidak sepatutnya
berlaku seperti “peran”(132) yang sepatutnya ditulis peranan, “ide”(132)
sebenarnya idea dan lain-lain. Kesalahan walaupun sekecil ini besar kesannya
jika pembaca gagal memahami maksud yang ingin disampaikan. Didalam buku ini
juga pengarang banyak menggunakan perkataan-perkataan Inggeris yang tidak
sepatutnya dicampur adukkan dengan Bahasa Melayu seperti “konsekuensi”(129),
“actual”(129), “komplementer”(128) dan beberapa lagi.
Walaubagaimanapun, pengarang
selayaknya juga mendapat pujian kerana berjaya mengulas dan menghuraikan
pandangan al-Qadi Abdul Jabbar dengan baik dan mudah difahami.