Sunday, 26 May 2013

Ulasan Terhadap Buku 'Pemikiran Kalan Muktazilah' karangan Dr. Haji Ali Ya'kub


Pemikiran kalam muktazilah. Dikarang oleh Dr. H. Ali Ya’kub Matondang. Medan, 1996. 140 muka surat.
           
Oleh kerana buku ini merupakan olahan daripada tesis yang tajuk asalnya ialah           “Konsep Taklif Menurut Al-Qadi Abdul Jabbar dan Implikasinya Terhadap Tanggungjawab Manusia“, maka akan dapat ditemui di dalamnya banyak pandangan yang diambil daripada pelbagai buku. Selain itu oleh kerana ini adalah olahan daripada sebuah tesis juga(i), maka dapat dilihat banyak penulisan berbentuk kajian dan buku ini lebih bertumpu dalam melakukan perbandingan dan ulasan terhadap pemikiran tokoh pemikir’ fahaman Muktazilah iaitu al-Qadi Abdul Jabbar (935 – 1025) dalam perbincangan mengenai konsep taklif. Buku “Pemikiran kalam muktazilah” ini memuatkan sebanyak enam bab yang mana di dalam bab 2 hingga bab 5, menyentuh perkara yang berkaitan dengan taklif menurut pandangan pelbagai ulama tidak kira daripada aliran Muktazilah, Qadariah, Jabariah mahupun Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
            Pemikiran kalam Muktazilah telah dikarang Dr. H. Ali Ya’kub Matondang. Beliau telah melakukan penelitian dan kajian untuk mengetahui pemikiran muktazilah tentang taklif dan implikasinya terhadap tanggungjawab manusia. Dalam bab dua, pengarang meletakkan tajuk iaitu “taklif menurut al-Qadi Abdul Jabbar”. Dalam bab ini juga pengarang membahagikan kepada tiga bahagian iaitu pengertiannya, tujuan taklif, taklif ‘aqli dan sam’i. Di dalamnya terlihat dasar-dasar pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar tentang taklif yang menjadi titik tolak kepada bab yang berikutnya.
            Bahagian pertama menyentuh tentang makna atau definisi, dinyatakan juga empat unsur penting yang terdapat dalam definisi-definasi taklif yang dibuat oleh al-Qadi Abdul Jabbar iaitu informasi, tindakan yang bertanggungjawab, adanya unsur kesukaran dan bebas daripada paksaan atau penekanan(15-18). Lalu dengan segala penelitian yang dilakukan, Dr. H. Ali Ya’kub menyimpulkan, “Taklif harus memenuhi seluruh unsur yang telah disebutkan di atas. Andainya kurang salah satu di antaranya maka batasan taklif sebagai disebut sebelumnya bererti tidak berlaku”(19).
            Pada bahagian mengenai tujuan taklif, pengarang menimbulkan satu hujah yang dapat dilihat pada pernyataan “di sini timbul masalah, mengapa al-sawab (pahala) yang menjadi tujuan taklif  dan mengapa tujuan ini baru diperoleh di akhirat?”(21). Untuk menjawab persolan ini, pengarang telah  menerangkan konsep tentang taklif, al-sawab dan al-i’adah yang dihuraikan dengan panjang lebar dan merujuk kepada penerangan-penerangan oleh al-Qadi Abdul Jabbar.(22-27)
            Bahagian seterusnya iaitu mengenai taklif ‘aqli dan sam’i. Disini, pengarang menegaskan, “informasi yang diperoleh melalui al-ilm al-daruri dan al-ilm al-istidlal yang berdasar akal, melahirkan al-taklif al-‘aqli, sedang informasi yang diperoleh melalui al-ilm al-istidlali yang berdasarkan wahyu, melahirkan al-taklif al-sam’i”(27). Dengan itu, dinyatakan lagi bahawa, “manusia dapat mengetahui kedua bentuk taklif diatas, adalah dengan menggunakan akal atau nalar”(27).
            Dalam bab tiga, pengarang membahas tentang tuhan sebagai mukallif. Dalam bab ini, beliau telah menerangkan masalah-masalah yang berkaitan dengan keesaan dan sifat-sifat tuhan, keadilan dan perbuatan tuhan serta kehendak  dan kekuasaan tuhan. Bab ini dihuraikan dengan memberi gambaran yang jelas tentang hakikat mukallif sebagai satu-satunya dan tidak mungkin ada yang menyerupai Allah. Dr. H. Ali Ya’kub Matondang menerangkan tuhan sebagai mukallif menurut al-Qadi Abdul Jabbar, tidak akan memberi beban di luar batas kemampuan manusia.
Pada bab yang ke-tiga ini juga, pengarang membahagikan topik perbincangan kepada tiga bahagian, pertama berkaitan keesaan dan sifat-sifat tuhan, kedua keadilan dan perbuatan tuhan, akhirnya kehendak dan kekuasaan tuhan. Bahagian pertama, iaitu keesaan dan sifat-sifat tuhan, pengarang mengambil kenyataan daripada al-Qadi Abdul Jabbar iaitu, “sekalipun terdapat empat macam dalil, iaitu akal, al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’, namun untuk mengetahui adanya tuhan hanya dapat dicapai dengan dalil akal”(40). Seterusnya, pengarang telah menerangkan satu persatu dengan mengikuti alur pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar untuk mendapatkan pengertian yang lebih jelas berkaitan untuk mengetahui adanya tuhan dapat dicapai dengan akal. Akhirnya, pengarang merumuskan, bahawa pernyataan al-Qadi Abdul Jabbar bahawa “ pengetahuan tentang adanya Allah hanya dapat dicapai dengan dalil akal”(40) adalah dilihat dari sudut penggunaan argumen, dan tidak bererti al-Qadi Abdul Jabbar mengabaikan dalil sam’i apatah lagi menentang autoriti dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Pengarang turut melakukan perbandingan antara metod yang digunakan al-Qadi Abdul Jabbar dengan metod Ibnu Taimiyyah dalam hal mengetahui kewujudan tuhan ini. Menurut Ibnu Taimiyyah, pengetahuan tentang adanya Allah adalah merupakan naluri fitrah manusia dan tidak memerlukan perbahasan. Bagi Ibnu Taimiyah, tiada taklif untuk mengetahui adanya maha pencipta, manusia hanya diberi taklif untuk mengenal tauhid dan menolak syirik sahaja(41), dan pandangan ini ditolak oleh pengarang dengan memetik kata-kata al-Qadi Abdul Jabbar bahawa,”andainya tuhan diketahui secara daruri tentunya tidak akan terjadi perbezaan pandangan manusia terhadap adanya tuhan, sebagaimana tidak adanya perbezaan pandangan mengenai gelapnya malam dan terangnya siang”(42). Dalam bahagian keesaan dan sifat-sifat tuhan ini juga, turut didatangkan pandangan menurut ahli falsafah Islam seperti al-Razi, Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina.
Kemudian, bahagian keadilan dan perbuatan tuhan, pengarang telah menghuraikan perbahasan mengenainya dengan memetik ayat-ayat daripada penulisan al-Qadi Abdul Jabbar berkaitan ayat al-Quran dalam surah al-Anbiya’ :47, yang menunjukkan keadilan tuhan dengan dasar pertimbangan bahawa, ”tuhan menjelaskan bahawa ia tidak menzalimi seseorang, bererti tuhan maha suci daripada berbuat zalim. Kedua, ia menjelaskan tidak akan menahan hak-hak seseorang walaupun dalam ukuran yang paling sedikit  pun. Bagi yang memiliki sifat seperti ini, tentunya kezaliman tidak mungkin berasal daripadanya. Akhirnya, ia menggunakan neraca dengan adil dan perhitungan yang cermat. Andainya ia berbuat zalim, maka pernyataan tersebut tidak bererti sama sekali”(58).
Seterusnya dalam bahagian terakhir, iaitu perbahasan mengenai kehendak dan kekuasaan tuhan, Dr. H. Ali Ya’kub Matondang mendatangkan masalah-masalah yang diperdebatkan oleh ahli kalam mengenai kehendak tuhan kepada beberapa persoalan. Pengarang membawa perbandingan fahaman antara Muktazilah dengan Asy’ariyah.
            Dalam bab empat pula yang bertajuk “manusia sebagai mukallaf”, pengarang buku telah menyajikan kajian-kajian terhadap manusia sebagai mukallaf. Pada bab ini konsep manusia dibahas menurut al-Qadi Abdul Jabbar, kemampuan manusia melakukan taklif dan masalah perbuatan manusia. Melaluinya, telah kelihatan potensi-potensi yang dimiliki manusia sehingga melakukan taklif secara efektif sekaligus memperlihatkan pandangan al-Qadi Abdul Jabbar tentang autonomi manusia untuk mewujudkan perbuatannya.
            Pada bab ini, terdapat tiga bahagian. Yang pertama iaitu “manusia menurut al-Qadi Abdul Jabbar”. Pengarang pada bahagian ini telah mengambil maksud manusia menurut al-Qadi Abdul Jabbar iaitu, “hakikat manusia yang disebut didalam kajian ini disebut maiyah al-mukallaf, adalah makhluk yang memiliki kemampuan, pengetahuan, persepsi, hidup dan kehendak”. Kayu ukur yang digunakan oleh al-Qadi dalam menetapkan hakikat manusia ialah kelayakannya untuk melakukan taklif (76).
            Pada bahagian pertama ini juga, Dr. H. Ali Ya’kub Matondang mengambil maksud hakikat manusia menurut pandangan tokoh-tokoh pemikir Islam lain. Dan pada maksud yang diambil, dirujuk pula kepada maksud yang dinyatakan oleh al-Qadi Abdul Jabbar (75).
            Dalam bahagian kedua, iaitu “kemampuan manusia melakukan taklif”, dibawa  beberapa istilah untuk mengungkapkan kemampuan manusia iaitu daya (al-qudrah), kekuatan (al-quwwah), kemampuan (al-istita’ah) dan kesanggupan (al-taqah). Istilah al-taqah tidak boleh digunakan untuk menunjuk kemampuan tuhan kerana didalam kalimah ini terdapat unsur kesukaran dan kesulitan, sedangkan tuhan mustahil mengalami hal yang sedemikian. Diterangkan bahawa kajian tentang kemampuan manusia dalam teologi Muktazilah, ditekankan pada daya yang dimiliki manusia (81).
            Perbahasan berkaitan dengan kemampuan manusia melakukan taklif ini, diterang dan dihuraikan dengan panjang lebar sambil disertakan dengan perbandingan yang dilakukan antara maksud yang diberikan oleh pemikir ahli kalam Muktazilah dan lainnya, akhirnya disimpulkan bahawa manusia berada didalam keadaan mampu untuk melaksanakan taklif sama ada berbentuk perintah mahupun berbentuk larangan, tetapi dengan kemampuan yang terbatas (90).
            Bahagian akhir pula iaitu mengenai perbuatan manusia. Menurut Dr. H. Ali Ya’kub Matondang, “ bagi Muktazilah, manusia memiliki kehendak dan daya yang efektif untuk mewujudkan perbuatannya sehingga ia disebut pelaku perbuatan dalam erti yang sesungguhnya”(105). Kesimpulannya, setiap ayat yang menjurus kepada penisbahan perbuatan  manusia kepada tuhan, difahami Muktazilah sebagai takwil dan setiap ayat yang menurut mereka bertentangan denagn konsep tauhid dan keadilan tuhan dikategorikan sebagai ayat mutasyabihat yang harus dimaksudkan secara takwil.
            Bab ke-lima pula dikemukakan perbahasan mengenai implikasi taklif terhadap tanggungjawab manusia. Disini dihuraikan implikasi taklif, baik terhadap individu, keluarga mahupun sosial. Dengan mengamati pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar tentang taklif, mukallif dan mukallaf, akan terlihat adanya tanggungjawab manusia secara penuh atas tindakan yang dilakukannya.
            Pada bab ke-lima ini juga Dr. H. Ali Ya’kub Matondang memfokuskan kesan taklif terhadap tanggungjawab manusia. Pengarang membahagikannya kepada tiga bahagian iaitu “tanggungjawab individu”, “tanggungjawab keluarga” dan akhirnya “tanggungjawab sosial”.
Dalam bahagian tanggungjawab individu, pengarang banyak menekankan bahawa setiap perbuatan yang manusia lakukan adalah bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya. Maka, setiap perkara yang dilakukannya akan mendapat balasan sesuai dengan apa yang diperbuatnya, baik diberi pahala, jahat akan mendapat siksa. Pengarang juga menyatakan,” kesedaran akan tanggungjawab individu menunjukkan bahawa Islam adalah agama etika, dimana manusia mendekati tuhan denagn perbuatan baik dan kesedaran ini merupakan kekuatan yang dapat mendorong manusia untuk melakukan perbuatan baik dan terbaik”.
Seterusnya pada bahagian tanggungjawab keluarga. Jika dapat difahami, pada bahagian ini, pengarang secara jelas ingin menyatakan bahawa konsep taklif yang diajukan oleh al-Qadi Abdul Jabbar mempunyai implikasi tanggungjawab untuk memikirkan, merencanakan dan mewujudkan keluarga yang sejahtera dan bahagia. Ini berdasarkan pandangannya dalam “istilah al-istita’ah yang dimiliki manusia, juga istilah al-manafi’ atau masalih (manfaat atau maslahah) sangat relevan dengan program Keluarga berencana”.
Akhirnya pada bahagian tanggungjawab sosial, pengarang merumuskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab individu dan tanggungjawab keluarga yang ditekankan dalam al-Quran bukan bertujuan untuk melemahkan aktiviti individu didalam kegiatan sosial, sebaliknya untuk mengarahkan serta mendorong untuk tercapainya tujuan-tujuan sosial. Kerana, masalah-masalah yang bersangkutan dengan hal keluarga dan indivu selalu dipandang dalam konteks umat. Dr. H. Ali Ya’kub matondang menyatakan,”ditinjau dari segi konsep taklif, tanggungjawab sosial berfungsi sebagai pengaman untuk terlaksananya taklif dengan sempurna dalam kehidupan masyarakat.
Kesimpulannya, konsep taklif yang dikemukakan oleh pengarang dengan merujuk kepada pemikiran al-Qadi Abdul Jabbar mencakupi tiga pokok perbahasan iaitu hakikat taklif, Allah sebagai mukallif dan manusia sebagai mukallaf. Kajian dalam ketiga perkara pokok ini memuatkan pandangan keseluruhan tentang pemikiran kaum Muktazilah. Jadi pemikiran taklif bagi al-Qadi Abdul Jabbar merupakan kerangka teori yang diatasnya dibangun pemikiran kalam berikut segala permasalahannya.
Dalam ke-tiga perkara pokok perbahasan taklif yang diajukan oleh al-Qadi Abdul Jabbar, terdapat hubungan yang bukan terjadi dalam tempoh sesuatu tanpa mengikuti perkembangannya antara taklif dengan kemampuan manusia. Allah sebagai mukallif memberikan taklif sesuai dengan keterbatasan daya manusia.  
Dr. H. Ali Ya’kub Matondang turut menyatakan, “pemikiran kalam yang diajukan oleh al-Qadi Abdul Jabbar mengandungi idea-idea positif yang sangat dominan, kemampuan dan kebebasan manusia serta keyakinan yang teguh terhadap keesaan dan keadilan tuhan”.
Terdapat beberapa kekurangan didalam buku ini. Tajuk buku ini seperti akan menceritakan keseluruhan pemikiran muktazilah berkaitan ilmu kalam, hakikatnya ia hanya banyak menceritakan perkara berkenaan taklif sahaja. Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan ejaan yang tidak sepatutnya berlaku seperti “peran”(132) yang sepatutnya ditulis peranan, “ide”(132) sebenarnya idea dan lain-lain. Kesalahan walaupun sekecil ini besar kesannya jika pembaca gagal memahami maksud yang ingin disampaikan. Didalam buku ini juga pengarang banyak menggunakan perkataan-perkataan Inggeris yang tidak sepatutnya dicampur adukkan dengan Bahasa Melayu seperti “konsekuensi”(129), “actual”(129), “komplementer”(128) dan beberapa lagi.
 Walaubagaimanapun, pengarang selayaknya juga mendapat pujian kerana berjaya mengulas dan menghuraikan pandangan al-Qadi Abdul Jabbar dengan baik dan mudah difahami.

No comments:

Post a Comment